6 Kelebihan Menjadi Dropship

Perniagaan dropship kini makin mendapat tempat di hati mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia bisnes. Bagi anda yang tidak tahu, dropship adalah satu model perniagaan secara dalam talian yang sama seperti perniagaan konvensional. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 6 kelebihan menjadi dropship.

Sebelum itu, sekiranya anda masih belum memahami terma dropship secara menyeluruh, anda boleh ikuti artikel yang kami kongsikan sebelum ini tentang apa itu dropship.

6 manfaat dan kelebihan menjadi dropship

1. Modal yang rendah

kelebihan menjadi dropship
Sumber: bloomberg

Salah satu kelebihan menjadi dropship adalah anda hanya perlu mengeluarkan modal yang sangat rendah berbanding agen atau stokis. Dalam sesetengah kes, anda mungkin tidak perlu mengeluarkan apa-apa modal langsung untuk menjana pendapatan sebagai dropship. Macam tak percaya, bukan?

Benar, ini bukan auta. Sebagai seorang dropship, anda hanya perlu bertindak sebagai promoter atau pengiklan untuk mempromosikan barangan yang dijual bagi mendapatkan tempahan. Dalam erti kata muda, anda di sini bertindak sebagai orang tengah antara pembekal dan pengguna. Jadi, tiada lagi isu modal hangus dan sebagainya sekiranya anda mulakan bisnes sebagai dropship ini.

2. Pelbagai pilihan produk

kelebihan menjadi dropship
Sumber: Shopify

Terdapat bermacam-macam produk dalam perniagaan dropship ini. Anda hanya perlu memilih produk apa yang ingin dijual. Salah satu tips adalah untuk memilih produk berdasarkan minat dan hobi anda kerana ia akan membantu anda mengenali sesuatu produk dengan lebih terperinci. Ini sekali gus akan membantu anda membuat jualan.

Macam mana pula nak cari pembekal? Ada banyak cara untuk mencari pembekal. Salah satunya adalah anda boleh membuat carian di media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan lain-lain.

Guna keyword seperti di bawah semasa membuat carian:

dropship malaysia tanpa modal
dropship kasut murah malaysia
agen dropship pakaian
dropship baju muslimah
agen dropship tudung

Dan banyak lagi. Anda boleh ubah produk tersebut mengikut produk yang anda ingin jual.

3. Tidak perlu menyimpan stok

kelebihan menjadi dropship
Sumber: Moving.com

Kelebihan menjadi dropship yang berikutnya adalah anda sama sekali tidak perlu menyimpan stok. Berbeza dengan agen dan stokis, anda tidak perlu membeli stok terlebih dahulu. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, supplier atau pembekal yang akan membekalkan produk kepada pelanggan anda apabila tempahan dibuat.

Perkara ini sekali gus mengurangkan risiko barang tidak laku dan tidak terjual. Ini juga menjadikan perniagaan dropship seseuai untuk mereka yang tiada pengalaman atau apa-apa pengetahuan tentang bisnes.

Pesanan kepada pembaca yang ingin berjinak dalam dunia bisnes, anda disarankan untuk mula dari bawah. Elakkan menjual produk jenama sendiri atau terus menjadi stokis. Mula sebagai dropship terlebih dahulu.

Ya, mana-mana bisnes pun sudah tentu ada risikonya sendiri tetapi kita boleh kurangkan risiko itu dengan strategi yang betul. Mula sebagai dropship untuk timba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Apabila sudah tahu selok-belok dunia perniagaan, barulah boleh ke tahap yang seterusnya.

[LIHAT JUGA] Anda Takut Untuk Menjual? Mungkin Ini Boleh Membantu

4. Tidak perlu uruskan penghantaran

kelebihan menjadi dropship
Sumber: Pos Malaysia

Kelebihan menjadi dropship yang setersnya adalah anda tidak perlu pening memikirkan urusan penghantaran. Ini kerana tugas anda hanyalah mempromosikan produk dan submit order dengan pembekal apabila pelanggan membuat tempahan. Ya, tugas anda selesai di sini sahaja. Selebihnya, pembekal yang akan uruskan.

Satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perniagaan dropship ini adalah menjimatkan masa. Anda tidak perlu lagi membungkus produk dan beratur panjang di pejabat pos untuk menguruskan penghantaran. Ini adalah salah satu sebab utama kenapa ramai yang memilih untuk menjadi dropship bagi mencari duit poket.

Tiada lagi alasan “Terlalu sibuk” dengan wujudnya model dropship ini. Doktor, guru, penjawat awam, pelajar dan sesiapa sahaja boleh menjadi dropship, tiada yang terkecuali.

5. Boleh buat di rumah

kelebihan menjadi dropship

Anda tidak memerlukan ruang pejabat untuk menjadi dropship. Apa yang anda perlukan hanyalah dua perkara iaitu telefon pintar atau laptop dan juga internet. Dengan adanya dua benda ini, anda boleh lakukan perniagaan dropship di mana sahaja anda berada termasuklah di rumah. Ya, sambil baring pun boleh!

Maka, tidak hairanlah kenapa suri rumah yang sibuk menjaga anak pun boleh menjadi dropship. Anda bukannya perlu menghadap telefon atau laptop 24 jam sehari, cukup untuk luangkan beberapa jam sehari bagi mempromosikan produk yang dijual di mana-mana platform pilihan anda. Kuncinya adalah konsisten. Buat apa sahaja mesti konsisten termasuklah perniagaan dropship.

6. Hanya perlu fokus pada sales dan marketing

kelebihan menjadi dropship

Di samping itu, kelebihan menjadi dropship adalah anda hanya perlu fokus pada sales dan marketing semata-mata. Anda tidak perlu runsing memikirkan soal modal, barang tidak terjual, modal hangus, penghantaran kepada pelanggan dan sebagainya. Tugas anda hanya promosikan barangan dan dapatkan pelanggan.

Media sosial seperti Instagram, Twitter, TikTok dan Facebook boleh digunakan untuk mempromosikan barangan yang anda jual. Ada bermacam-macam cara untuk promosikan bisnes anda. Elakkan membuat posting yang menjual atau kita sebut sebagai hard sell semata-mata. Sebaliknya, anda perlu pelbagaikan content agar audiens tertarik dengan produk yang dijual.

Ikuti langkah yang trending seperti meletakkan tanda pagar yang berkaitan untuk menarik lebih ramai orang melihat produk anda.

Semoga perkongisan ini memberi manfaat kepada semua. Jangan tunggu lagi, mulakan bisnes dropship anda sekarang.

Author avatar
UsahawanMaya
https://www.usahawanmaya.com

Post a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *