Setiap seorang daripada pembaca di sini pasti pernah dengar tentang dropship atau agen dropship. Selalunya, majoriti bisnes pasti membuka peluang untuk sesiapa sahaja menjadi dropship. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa itu dropship? Bagaimana ia dijalankan?
Apa itu dropship?

Secara ringkas, dropship sebenarnya merupakan salah satu cara untuk anda memulakan bisnes dengan modal yang sangat rendah. Dalam sesetengah kes, anda mungkin tidak perlu mengeluarkan modal langsung. Dropship adalah satu model perniagaan secara dalam talian yang sama seperti perniagaan konvensional. Dalam perniagaan konvensional, ada pembekal, pemborong (orang tengah) dan pembeli.
Begitu juga dalam perniagaan dropship, ada pembekal, orang tengah dan juga pembeli. Di sini, anda bertindak sebagai orang tengah di antara pembekal dengan pembeli anda. Perniagaan dropship ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin mencari pendapatan lebih atau duit tepi.
Apa pula tugas dropship?

Tugas dropship sangat mudah. Apabila menjadi dropship, anda hanya perlu mempromosikan barang yang dijual dan menerima tempahan daripada pelanggan. Sebaik sahaja menerima bayaran, anda hanya perlu submit tempahan berikut kepada pembekal dan membuat bayaran kepada mereka pada harga borong.
Anda tidak perlu risau tentang penghantaran kerana segala urusan ini akan dilakukan oleh pembekal. Dalam erti kata mudah, tugas anda hanya promote dan submit tempahan sahaja.
Siapa yang boleh jadi dropship?

Perniagaan dropship ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menjana pendapatan sambilan mahupun sepenuh masa secara dalam talian. Ia juga tidak terikat pada mana-mana usia. Semua orang boleh jadi dropship asalkan keinginan dan minat itu ada.
[LIHAT JUGA] Anda Takut Untuk Menjual? Mungkin Ini Boleh Membantu
Bagaimana keuntungan dropship dikira?

Keuntungan dropship dikira sama seperti peniaga di luar talian atau peniaga konvensional iaitu untung runcit hasil jualan produk. Dalam erti kata lain, anda jual produk tersebut pada harga runcit dan anda bayar pada pembekal dengan harga yang jauh lebih rendah iaitu harga borong.
Sebagai contoh, anda menjual tudung pada harga RM49 dan harga pembekal dropship hanya RM40. Jadi, anda untung RM9.
5 langkah dalam model dropship

Berikut adalah 5 langkah dalam model dropship:
Langkah 1: Hubungi mana-mana bisnes yang ada tawarkan peluang perniagaan untuk dropship
Langkah 2: Dapatkan gambar dan maklumat produk daripada pembekal untuk dipromosikan di media sosial
Langkah 3: Terima pesanan daripada pembeli
Langkah 4: Buat pembayaran kepada pembekal dan berikan maklumat untuk penghantaran kepada pembekal
Langkah 5: Pembekal akan membuat penghantaran kepada pelanggan
Jadi, demikianlah penerangan ringkas berkenaan apa itu dropship dan konsep dalam perniagaan dropship. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.
Pispawana
Saya ada bisnes
Pispawana
Macam mana nak bgth semua org selama 6bulan 1 hari 3 kereta sahaja datang