Pemilihan niche adalah salah satu perkara yang paling penting dalam bisnes termasuklah bisnes dropship. Pemilihan niche yang tepat akan membuatkan anda lebih fokus terhadap bisnes dan tidak membazir masa. Persoalannya, bagaimana cara pilih niche yang tepat untuk bisnes dropship? Teruskan membaca kerana artikel ini sememangnya akan membantu anda.
Cara pilih niche yang tepat untuk bisnes dropship anda
Definisi niche
Sebelum kita pergi lebih lanjut, pasti ada yang tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan dengan niche? Menurut laman BigCommerce, niche merupakan satu segmen khusus dalam pasaran tertentu. Dalam erti kata mudah, niche adalah satu ‘pengkhususan’.

Anda boleh lihat gambar di atas sebagai contoh. Terdapat pelbagai kategori produk yang boleh didapati di Shopee. Contohnya Women’s Clothing, Health & Beauty, Baby & Toys, Muslim Fashion, Automotive dan banyak lagi. Semua ini adalah contoh pasaran yang berbeza.

Apabila anda klik pada salah satu kategori besar tadi, anda akan lihat pecahan-pecahan atau kategori kecil di bawah kategori besar tadi.
Contohnya apabila anda klik pada Women’s Clothes, ada pelbagai kategori kecil seperti Tops, Traditional Wear, Dresses, Plus Size, Skirts dan banyak lagi. Inilah yang kita sebagai segmen khusus atau niche dalam pasaran Women’s Clothes.
Bagaimana nak pilih niche yang tepat?

Percaya atau tidak, cara pilih niche yang terbaik bagi bisnes dropship yang bakal anda mulakan adalah dengan memilih niche yang berkaitan dengan minat atau passion anda sendiri. Apa kena dengan minat pula? Ini kerana apabila anda membuat bisnes berasaskan minat sendiri, anda akan rasa lebih bersemangat dan bermotivasi. Senang cerita, rasa enjoy dan bukannya buat sebab duit semata-mata.
Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan menyenaraikan setiap satu daripada hobi atau apa-apa sahaja perkara yang dekat dengan diri anda. Sebenarnya, senarai itu boleh dijadikan niche untuk bisnes dropship anda nanti.
Apa yang anda perlu buat seterusnya adalah susun hobi anda tadi mengikut keutamaan berdasarkan tahap ilmu anda berkenaan perkara itu, minat dan pengalaman anda. Dengan berbuat sedemikian, anda boleh nampak anda sebenarnya lebih cenderung kepada perkara mana satu.
Pada masa yang sama, anda juga perlu tahu produk apa yang dicari oleh pengguna di dalam komuniti hobi anda tadi. Sebagai contoh, hobi anda memasak. Anda perlu tahu apa yang diperlukan oleh orang lain yang mempunyai minat yang sama seperti anda.
Untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan itu, anda perlu tahu apa masalah yang dihadapi mereka dan apa yang mereka perlukan. Bukan itu sahaja, anda juga perlu membuat research tentang gaya hidup mereka dan bagaimana cara yang tepat untuk berkomunikasi dengan mereka menerusi copywriting. Ingat, setiap komuniti mempunyai ‘bahasa’ mereka yang tersendiri.
[LIHAT JUGA] Panduan Lengkap Lubuk Supplier Dropship 2021
Kenapa penting untuk pilih niche yang tepat?

Pemilihan niche yang tepat akan jadikan anda lebih fokus terhadap bisnes anda. Anda tidak akan terikut-ikut dengan orang lain hanya kerana sesuatu produk itu viral. Seperti yang kami bahaskan dalam artikel sebelum ini, produk yang viral itu hanya bersifat sementara dan bukannya long-term.
Dengan adanya niche yang tepat, anda tidak akan membazirkan masa mencuba macam-macam idea bisnes yang akhirnya hanya akan merugikan diri sendiri.
Pada masa yang sama, pemilihan niche yang tepat juga akan memudahkan anda untuk membuat pemasaran nanti kerana setiap niche mempunyai audiens yang berbeza. Jadi, sekiranya anda letakkan 100 peratus fokus terhadap satu niche ini, anda hanya perlu membuat pemasaran untuk audiens yang sama. Dengan ini, anda tidak perlu buang masa membuat copywriting berbeza untuk ditujukan pada audiens yang berbeza.
[LIHAT JUGA] 6 Strategi Cari Produk Dropship Yang Berpotensi
Kesimpulan
Kesimpulannya, cara pilih niche yang terbaik adalah dengan mengambil kira hobi serta passion anda. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda mengorak langkah lebih jauh lagi dalam dunia bisnes dropship.