Kenapa Tak Perlu Jual Produk Viral? Ini Sebabnya

Salah satu masalah yang hampir semua pemilik bisnes hadapi adalah tak tahu nak jual produk apa. Ramai yang akhirnya memilih untuk jual produk viral atau yang sedang tular. Sebenarnya, anda tidak perlu fokus kepada menjual produk viral semata-mata untuk mengaut untung besar dalam bisnes terutamanya apabila menjadi dropship.

Kenapa tak perlu jual produk viral?

jual produk viral
Sumber: Optinmonster

Satu benda yang anda perlu ingat adalah setiap perkara ada turun naiknya termasuklah produk viral. Ia mungkin mempunyai permintaan yang tinggi pada hari ini tapi persoalannya, sampai bila?

Sebagai contoh, lihat sahaja choco jar. Beberapa bulan yang lepas, choco jar menjadi viral di semua media sosial. Semua orang berlumba-lumba menjual choco jar sampaikan pelbagai jenama baru muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tetapi, kini hype-nya sudah tidak sama macam dulu.

Sama juga seperti bubble tea atau boba. Pada awal tahun lepas, semua orang beratur untuk mendapatkan bubble tea hanya kerana ia viral di media sosial. Buka sahaja mana-mana media sosial, pasti ada gambar bubble tea melintas di timeline atau feed.

Jalan di SS15, Subang Jaya yang tidak pernah sesak sebelum ini sampaikan menjadi sesak gara-gara penangan bubble tea. Walau bagaimanapun, hype bubble tea ini hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Kini, kedai bubble tea pun lengang dan ada yang lingkup.

Memang tidak dinafikan, anda boleh jana untung besar apabila menjual produk viral. Namun begitu, ia hanya bersifat sementara.

Apa yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam bisnes dropship?

1. Gunakan produk viral sebagai ‘umpan’

jual produk viral
Sumber: PNG Key

Sebagai dropship, anda boleh jual produk viral untuk menarik pengguna ke kedai dalam talian anda tetapi pada masa yang sama, jual juga produk lain yang jualannya steady. Gunakan produk viral itu sebagai ‘umpan’ semata-mata agar pengguna masuk ke kedai anda.

Secara tidak langsung, mereka akan lihat produk lain yang anda jual. Jika anda bernasib baik, mereka yang pada mulanya ingin membeli produk yang viral semata-mata mungkin akan turut membeli produk lain yang anda jual.

[LIHAT JUGA] 6 Strategi Cari Produk Dropship Yang Berpotensi

2. Cari target pasaran anda

jual produk viral

Mencari audiens pembeli dalam kalangan pengguna yang mempunyai minat terhadap produk yang anda jual bukanlah sekadar petik jari semata-mata. Lagi-lagi apabila anda baru setahun jagung dalam dunia perniagaan dropship dan pertama kali mahu jalankan pemasaran.

Apabila produk yang anda jual agak rare dan tidak banyak di pasaran, sebenarnya agak susah untuk anda buat pemasaran lebih-lebih lagi sekiranya pengetahuan anda tentang pemasaran memang zero.

Apabila anda jual produk yang agak common, proses untuk mencari audiens akan menjadi lebih mudah. Anda boleh tiruvasi idea pesaing yang menjual produk sama seperti anda untuk membuat pemasaran. Study media sosial mereka dan Instagram serta Facebook Ads yang mereka jalankan. Dengan ini, anda akan mendapat idea bagaimana untuk mencari target pasaran anda.

3. Bina jenama

Untuk anda yang sedang mencari jalan untuk membina perniagaan dropship yang tahan lama, anda wajib membina jenama agar perniagaan anda menjadi relevan di mata pengguna.

Antara perkara yang perlu difikirkan semasa membina jenama termasuklah warna tema dan juga logo. Jenama adalah satu perkara yang sangat penting bukan sahaja kepada pemilik bisnes malah kepada pembeli terutamanya generasi muda.

Kenapa jenama penting untuk anda bertahan lama dalam dunia perniagaan dropship? Ini kerana ia akan membezakan anda dengan bisnes-bisnes lain. Pada masa yang sama, pengguna akan lebih cenderung untuk membeli sesuatu yang berbaloi dan bermakna.

4. Bina pelanggan berulang

jual produk viral
Sumber: Zendesk Blog

Bisnes yang maju terhasil daripada pelanggan yang berulang. Satu kajian mendapati bahawa sekurang-kurangnya 40 peratus daripada pendapatan tahunan sesebuah bisnes dijana menerusi pembelian berulang.

Inilah salah satu sebab kenapa anda tidak disarankan fokus terhadap produk viral semata-mata. Bila sebut sahaja produk viral, pengguna selalunya akan beli sekali sahaja untuk cuba dan follow the trend. Jadi, anda tidak akan dapat membina pelanggan berulang menerusi penjualan produk viral semata-mata.

Kesimpulan penjualan produk viral

Kesimpulannya, jual produk viral ini bukannya tak bagus tetapi anda tidak boleh fokus terhadap satu produk sahaja. Gabungkan penjualan produk viral dan produk yang steady jualannya, nescaya anda akan berjaya dalam perniagaan dropship ini.

Author avatar
UsahawanMaya
https://www.usahawanmaya.com

Post a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *